Ads 468x60px

Featured Posts

.

.

Followers

Friday, March 16, 2012

Sijil Halal: Mulai 1 Julai, Jakim Kuatkuasa Penjara

Mulai 1 Julai ini, pengusaha yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan berdepan hukuman denda dan penjara.
    
Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim Hakimah Mohd Yusoff berkata jabatan itu akan melakukan pemantauan di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

"Kami akan membuat lawatan operasi di setiap premis mulai 31 Mac sebagai langkah pendidikan untuk pastikan setiap premis perniagaan mempunyai sijil halal dan tidak hanya mempamerlan logo halal sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama.
    
Beliau berkata hanya sijil dan logo halal yang sah dikeluarkan oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan diiktiraf.
    
"Sijil halal yang dikeluarkan pihak swasta tidak diiktiraf dan akan dikenakan tindakan. Semua ini termaktub di bawah Seksyen 16 Akta Perdagangan Dalam Negeri 2011," katanya.

Hakimah berkata sehingga Februari lalu, sebanyak 1,420 permohonan sijil halal telah diterima.

- Bernama
 

Monday, March 12, 2012

USIM, UTM dan Pertis Bekerjasama Menghasilan al-Quran Braille

NILAI 12 Mac — Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Persatuan Orang-Orang Cacat Islam Malaysia (Pertis) bagi menghasilkan al-Quran dalam tulisan braille.

Sekadar gambar hiasan

Satu memorandum persefahaman mengenainya ditandatangani di sini hari ini yang diwakili oleh Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Muhamad Muda, Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM, Profesor Dr. Roslan Abdul Rahman dan Yang Dipertua Pertis, Zakaria Yahya.
Dr. Muhamad Muda berkata, ketiga-tiga pihak akan menjalankan penyelidikan berdasarkan kepakaran dan pengetahuan masing-masing.

Beliau berkata, Pertis bertanggungjawab memperkenalkan penulisan al-Quran braille berkomputer di Malaysia dan membimbing pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM dalam menyampaikan kandungan pengajaran al-Quran braille.

Kerjasama dilakukan dengan UTM kerana melalui kumpulan penyelidiknya dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, telah berjaya menghasilkan produk pertama seumpamanya di dunia iaitu e-Braille al-Quran yang memudahkan pembacaan dan pengajaran al-Quran untuk golongan cacat penglihatan, kata Dr. Muhamad.— BERNAMA

Sunday, February 5, 2012

Peniaga Diwajibkan Dedah Status Halal Barangan Kulit

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang menyediakan peraturan bagi mewajibkan peniaga mendedahkan maklumat jika sesuatu barang diperbuat daripada bahan tidak halal seperti kulit babi.

Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Saripuddin Kasim berkata ini bagi membolehkan barangan seperti beg, kasut dan pakaian yang diperbuat daripada bahan tidak halal diasingkan daripada produk halal di sesebuah premis.

"Buat masa ini, belum ada undang-undang yang membolehkan KPDNKK berbuat demikian selain menasihati peniaga," katanya ketika dihubungi Bernama.

Saripuddin berkata penyediaan deraf peraturan itu sedang dibuat melibatkan pakar-pakar daripada Jabatan Kimia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri, dan dijangka siap beberapa bulan lagi.

Beliau berkata ia selaras dengan pelaksanaan Akta Perihal Dagangan 2011 yang berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Saripuddin berkata kementerian selaku badan penguatkuasa telah melantik 62 pegawai Jakim sebagai Penolong Pengawal Perihal Dagangan untuk menguatkuasakan akta berkenaan.

Katanya langkah itu membolehkan pegawai Jakim mendakwa individu atau syarikat yang melanggar peruntukan mengikut akta tersebut, termasuk penyalahgunaan sijil halal.

"Sebelum ini, kuasa pegawai Jakim hanya terhad kepada menyerbu dan melakukan siasatan manakala kuasa pendakwaan terletak pada KPDNKK," jelas Saripuddin.

- Bernama

Friday, January 27, 2012

Kempen 'Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam' Satu Penghinaan Buat Islam


Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia USIM membantah sekeras-kerasnya pelaksanaan kempen 'Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam' yang dilancarkan oleh Kelab Taat Suami baru-baru ini. Kempen itu dilancarkan pada 25 Januari sehingga 5 Februari bersempena sambutan Maulidurrasul 1433H.


Memetik kenyataan Setiausaha 1, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia USIM, Mohamad Razif Mohamad di blognya, "Hakikatnya, begitu banyak yang boleh diketengahkan dari Nabi SAW baik sebagai tokoh dalam bersahabat, tokoh dalam kepimpinan, juga tokoh dalam berkeluarga. Mengapa 'tokoh seks' dipilih? Seakan-akan seks itu adalah matlamat paling utama dan segala-galanya bagi Islam"


Presiden Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia USIM, Muhamad Farid Hadhari ketika dihubungi berkata, "Rasulullah merupakan insan yang telah dimuliakan oleh Allah, dan nama baginda sendiri bermaksud 'yang terpuji'. Perbuatan menghina dan merendah-rendahkan Baginda bererti menghina dan merendah-rendahkan Allah. Maka siapa kita yang menghina Rasulullah kalau Allah telah memuliakannya? Jika benar ingin membuat kempen tentang Baginda Rasulullah, adakan dialog atau seminar tentang siapa sebenarnya Muhammad SAW, kehidupannya dan sebagainya, barulah mengetahui siapakah Rasulullah sebenarnya."

Menurut mereka kempen ini bertujuan bagi mengajak umat Islam terutama pasangan suami isteri supaya mengamalkan kehidupan Rasulullah dan menjadi panduan kepada umat Islam dan ia termasuk aspek ibadat, keluarga dan kehidupan seks. 

SPMM USIM menegaskan, Rasulullah adalah seorang insan teragung dan ikon yang terbaik bagi seluruh manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 21

 لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
"Sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,..."

Adalah satu penghinaan bagi Islam bila menganggap seorang utusan agung, sebagai tokoh seks. Secara tidak langsung, ini juga seolah-olah menggambarkan Islam itu hanya berkisar sekitar seks. 

Justeru, Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia menyeru:

1. Kelab Isteri Taat supaya menarik semula kenyataan-kenyataan mereka berhubung kempen ini termasuk buku “Seks Islam: Perangi Yahudi Untuk Kembalikan Seks Islam Kepada Dunia” yang jelas berunsur lucah.

2. Pihak JAKIM dan pihak berwajib supaya bertindak lebih tegas dalam memastikan tidak ada lagi saki-baki kumpulan Al-Arqam seperti ini bebas bergerak. Ahli-ahli mereka juga perlu diberikan kelas intensif seumpama kelas pemulihan akidah.

3. NGO-NGO Islam supaya lebih giat mencari alternatif bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dikemukan oleh pihak Kelab Isteri Taat berhubung tujuan pelaksanaan kempen mereka.

Thursday, January 26, 2012

Peratusan Pelajar Sains Amat Kritikal


PUTRAJAYA 26 Jan. - Peratusan pelajar mengambil jurusan Sains terus menurun sehingga 29 peratus pada tahun ini dan keadaan itu dilihat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai amat kritikal.

Katanya, trend penurunan itu bermula sejak 2007 sekali gus memperlahankan sasaran Pelan hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2020 yang memerlukan 60 peratus pelajar aliran sains dan selebihnya aliran sastera.

Beliau berkata, kemerosotan itu berterusan ke tahap universiti apabila pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi melihat pembelajaran dalam bidang sains tidak berbaloi selain sukar dan membosankan.

‘‘Ini boleh membantutkan usaha kerajaan meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi,’’ katanya selepas menyampaikan Amanat Tahun Baru 2012 kementerian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, pengurusan tertinggi institusi pengajian tinggi (IPT) mesti melihat perkara tersebut secara serius dan merancang strategi untuk mengubah persepsi pelajar terhadap sains.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk memastikan pelajar cemerlang diterapkan keseronokan mempelajari sains dan teruja dengan cabaran minda serta penerokaan baru.
Menurut Mohamed Khaled, beberapa dasar dan strategi baru juga boleh diperkenalkan ke arah meningkatkan minat para pelajar mempelajari sains termasuk meraikan kepelbagaian sains.
Beliau berkata, mulai tahun ini, Kementerian Pengajian Tinggi menawarkan biasiswa baru melalui program MyBrainSc bertujuan menyediakan tenaga akademik berkualiti dalam bidang sains tulen di IPT.

IPTA juga, katanya, perlu membangunkan institusi penyelidikan dalam bentuk institut, pusat atau makmal dengan memperkenalkan jawatan baru bergelar Akademik Penyelidik untuk mengekalkan bakat dalam bidang sains.

Sementara itu, tokoh pendidikan, Prof. Tan Sri Khoo Kay Kim berkata, budaya menghafal tanpa memahami apa yang dipelajari dipercayai menjadi punca pelajar kurang berminat untuk mengikuti jurusan sains sehingga ke peringkat tinggi.

Menurut beliau, kebanyakan pelajar yang mengambil jurusan sains memerlukan mereka menghafal formula dan rumusan dalam jumlah yang banyak dan ini membunuh minat untuk terus mendalami bidang tersebut.

Wednesday, December 14, 2011

KUALA LUMPUR, 14 Dis: Persatuan Pengguna Pulau 
Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan racun rumpai jenis Paraquat yang didakwa mengandungi toksik berlebihan yang boleh membunuh. 


Menurut Presidennya, S.M Mohamed Idris, racun yang turut diseludup di negara ini itu mempunyai kepekatan racun lebih daripada 40 peratus dan membahayakan pengguna khsusnya apabila disedut, bersentuh dengan kulit dan jika ditelan. 


"Keracunan yang amat tinggi dan kekurangan antidot membawa kepada masalah kesihatan yang serius, dan kematian akibat daripada pendedahannya. 


"Paraquat dikatakan sebagai racun pilihan bagi membunuh diri di negara ini," katanya.Menurut beliau lagi, Paraquat juga diketahui sebagai penyebab masalah kesihatan yang akut dan dalam jangka panjang seperti dermatitis teruk, kegagalan buah pinggang, kegagalan pernafasan, denyutan jantung menjadi cepat, melecur darjah kedua, kanser kulit dan penyakit Parkinson. 


Lebih bahaya ujarnya, Paraquat juga kekal dalam tanah dan sisanya dibawa dalam  larian air bersama mendapan, yang menjadikan bahan itu berpotensi untuk mencemarkan air bawah tanah.


Sebelum ini Jawatankuasa Kesihatan Perak dalam satu seminar mengenai paraquat baru-baru ini menggesa satu panel ditubuhkan untuk menangani isu penggunaan pendekatan holistik.Kerajaan Malaysia pada Ogos 2002, penah mengumumkan untuk mengharamkan Paraquat melalui proses menghapuskannya dalam tempoh dua tahun. Pengharaman itu kemudiannya ditarik balik akibat tekanan pasaran. 


"Kenapa pekerja pertanian yang terdedah kepada racun rumpai bertoksik ini yang terpaksa menanggung penderitaan akibat kesan buruknya manakala syarikat kimia pertanian dan industri pertanian terus mendapat keuntungan?" soal beliau lagi.Menurutnya, Kesatuan Eropah sudah pun mengharamkan paraquat kerana bahayanya kepada kesihatan meskipun digunakan mengikut arahan. Penghapusannya diperingkat global mungkin berlaku jika ia disenaraikan di bawah Rotterdam Convention on Prior Informed Consent (PIC). 


Walau bagaimanapun, kami menjangkakan lobi yang lebih besar oleh industri bagi memastikan racun rumpai itu tidak termasuk di bawah perjanjian itu.Sehubungan itu ujarnya, Kerajaan Malaysia perlu menguatkuasakan pengharaman sepenuhnya Paraquat dan mengawal aktiviti penyeludupan racun rumpai bertoksik ke negara ini."Kita perlu mempercepatkan ke arah amalan pertanian ekologi menggunakan kaedah pertanian asli dan kawalan serangga biologi. Menternak lembu di dalam ladang boleh membantu kawalan rumpai.“Utamakan rakyat dan bumi, bukannya keuntungan” seharusnya menjadi modus operandi bagi kerajaan penyayang," tegasnya.

Wednesday, December 7, 2011

Hukum Penggunaan Indelible Ink Dalam Pilihanraya Malaysia

Keputusan: 
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 8 Ogos 2007 telah membincangkan Hukum Penggunaan Indelible Ink Dalam Pilihanraya Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa berdasarkan penjelasan dan hasil ujikaji yang telah diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang kimia serta hujah-hujah dan pandangan ahli-ahli Jawatankuasa, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Indelible Ink tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak mendatangkan mudharat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan. Oleh itu penggunaan Indelible Ink adalah dibenarkan oleh syarak kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada ibadah umat Islam.
Walaubagaimanapun, keputusan Jawatankuasa terhadap kandungan dan tahap ketelapan Indelible Ink ini hanya tertakluk kepada bahan yang sama dengan yang telah diuji oleh pakar-pakar berkenaan sahaja.


Keputusan (English): 
 
The Ruling On Using Indelible Ink In Malaysia Election.

Decision:

The Special Muzakarah (Conference) of the Fatwa Committee National Council of Islamic Religious Affairs Malaysia held on 8th August 2007 has discussed on the ruling on using indelible ink in Malaysia General Election. Based on explanation and research conducted by experts in chemistry together with evidences brought by the members of the Committee, the Committee has decided that the indelible ink does not contain impure substances that are prohibited according to Islamic law, nor it brings harm to the health and does not impede water to get onto the skin when used. Hence, the use of indelible ink is permissible according to Islamic Law as it does not bring problem to Muslims ritual activities.

However, the Committee has decided that the level of permeability of the indelible ink is limited to the amounts that have been tested by the experts.
 
Keterangan/Hujah: 
 
  1. Indelible Ink bermakna dakwat yang tidak boleh dipadam. Satu calitan dakwat ini pada jari pengundi akan memberi tanda coklat kehitaman yang akan kekal selama beberapa hari. Kaedah ini adalah kaedah yang mudah yang berkesan bagi mengelakkan penipuan undi atau pengundi yang membuang undi lebih sekali. Beberapa negara telah menggunakan kaedah ini termasuk China, Ghana dan Denmark. India sebagai pengeluar dakwat ini telah menggunakan kaedah calitan jari pengundi ketika pilihanraya sejak tahun 1962 lagi. Berdasarkan laporan ujikaji komposisi kimia yang dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia, dakwat yang diimport daripada India ini mengandungi tiga (3)bahan utama iaitu air, Ethanol (55 peratus) dan Silver nitrate .
     
  2. Penggunaan Indelible Ink tidak akan mendatangkan sebarang mudharat jika digunakan pada kuku dan jari. Ia hanya akan mendatangkan kesan pada kesihatan sekiranya termakan atau terminum.
     
  3. Berdasarkan kajian, penggunaan Indelible Ink pada kuku boleh dihilangkan dalam tempoh tiga (3) hari dan jika digunakan pada kulit, ia akan hilang dalam tempoh tujuh (7) hari. Untuk kegunaan dalam pilihanraya, SPR hanya akan mencalitkan Indelible Ink tersebut dalam kuantiti yang sedikit yang dijangka dapat bertahan sekurang-kurangnya 24 jam.
     
  4. Penggunaan alkohol dalam Indelible Ink bukan merupakan isu kerana pada asasnya jika sesebuah bekas mengandungi alkohol dibuka, proses meruapan akan berlaku dan ia akan mengurangkan kandungan alkohol tersebut.
     
  5. Memandangkan Indelible Ink ini boleh telap air dalam keadaan serta merta dan kandungannya juga bebas dari sebarang lemak haiwan, maka penggunaannya tidak akan menimbulkan sebarang keraguan dari aspek hukum syarak.
     
  6. Ketelapan air pada kulit perlu dibezakan dengan ketelapan air yang sampai pada sel di bawah kulit, kerana dari sudut syarak kedua-duanya adalah berbeza dan untuk tujuan ibadah adalah memadai jika air telap sampai ke kulit.
     
  7. Dalam konteks menjaga maslahah ummah, beberapa kaedah fiqhiyyah yang boleh dijadikan sandaran adalah :
    تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلح
    Maksudnya : Tindakan yang dijalankan oleh ketua negara terhadap urusan rakyat adalah terikat dengan maslahah.

halwa telinga